BLOG PPDa SMKL

Wednesday, January 7, 2009

Untuk Warga SMK Laksamana

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,


Sesi persekolahan baru 2009 telah menjelma bagi mengukir dan memahat sebuah lagi episod baru dalam dunia pendidikan negara umumnya, dan SMK Laksamana khasnya. Catatan pahit manis dan suka duka sesi persekolahan 2008 seharusnya menjadi kayu pengukur dan pemangkin bagi memulakan sesi persekolahan yang baru. Namun pada ruangan ini, saya terlebih dahulu mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terima kasih tidak terhingga kepada semua warga SMK Laksamana yang telah menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan pada sepanjang sesi persekolahan 2008 yang lalu. Dengan berpayungkan slogan SMKL, ( Sentiasa Mencapai Kecemerlangan Luhur ), sememangnya, segala kekuatan yang ada di SMK Laksamana perlulah diadun dan digabungkan bagi memastikan pencapaian standard tinggi kualiti pendidikan dalam semua bidang berjaya dilaksanakan. Kesanggupan semua warga sekolah ini untuk berkorban masa, tenaga dan wang bagi melahirkan para pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang amat disanjungi serta dihargai.


Sesi persekolahan 2008 yang ditinggalkan telah mencatatkan pelbagai kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Sesungguhnya, kesemua kejayaan yang dicipta merupakan kejayaan bagi semua warga sekolah ini. Tanpa adanya azam dan semangat yang tinggi serta sokongan bersungguh-sungguh daripada semua pihak, mustahil semua kejayaan tersebut dapat dicipta. Namun, daripada pelbagai kejayaan yang dicipta masih ada ruang dan peluang yang boleh diteroka dan dipertingkatkan bagi mengembali dan meneruskan kegemilangan SMK Laksamana sebagai sebuah institusi pendidikan tertua di daerah bersejarah ini. Bagi menelusuri dan menghadapi sesi persekolahan yang baru ini, saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua pihak untuk bersama-sama mengukuhkan lagi ikatan dan iltizam untuk mencipta lebih banyak lagi kejayaan. Suatu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah memantapkan lagi sahsiah para pelajar di sekolah ini. Hal ini perlu diberikan keutamaan bagi memastikan kejayaan yang bakal dicipta dalam bidang kurikulum dan kokurikulum lebih saling melengkapi dan terus mewangi.


Lembaran kalender persekolahan tahun 2009 sudah tentu menjanjikan pelbagai cabaran kepada semua warga pendidik dan pelajar di SMK Laksamana. Untuk berhadapan dengan segala cabaran tersebut beberapa perubahan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum serta kokurikulum telah disusun dan dikemaskinikan. Perubahan ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengurusan organisasi dan kekuatan tenaga waega SMK Laksamana, bagi berhadapan dengan gelombang dunia pendidikan yang semakin mencabar selaras dengan lonjakan perubahan yang berlaku. Sesungguhnya cabaran yang bakal mendatang, sekali lagi menuntut pengorbanan dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Dalam konteks ini, penguasaan ilmu dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) antara aspek yang perlu diberikan perhatian tanpa mengabaikan aspek-aspek yang lain termasuk meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran para guru di dalam kelas.

Akhir kata, saya sekali lagi mengambil kesempatan menyeru kepada semua warga SMK Laksamana, marilah kita bersama-sama mengukuhkan ikatan, berganding bahu dan berpadu tenaga bagi mencipta lebih banyak lagi kegemilangan pada sepanjang sesi persekolahan 2009. Sesungguhnya, setiap warga sekolah ini memainkan peranan dan tangggungjawab yang sangat bermakna bagi memastikan SMK Laksamana terus berada di puncak kegemilangan dunia pendidikan negara.

3 comments:

Anonymous said...

Tahniah SMK Laksamana

Anonymous said...

i think laksamana are going tough to be really success..

Anonymous said...

i think the website of smkl should be updated...it lacks of information actually...